MELAKA – Tindakan zalim seorang lelaki menceroboh rumah warga emas dan mengacukan pisau pemotong daging kepada mangsa berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Shahrum Baba, 50, yang mengaku bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada seorang lelaki warga emas, Sama Osman, 75, dengan mengacukan sebilah pisau pemotong daging.
Semua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3.45 petang di Batu 7, Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah pada 27 Disember 2023.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya merayu agar hukuman berbentuk pemenjaraan yang minimum diberikan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan ia berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 27 Disember 2023. – KOSMO! ONLINE