BATU PAHAT – “Kami pasrah, pulangkan Mira Sharmira,” demikian luahan hati Norisham Samsusah, 36, berhubung kehilangan adiknya yang lebih dikenali sebagai Bella sejak 20 hari lalu.
Norisham malah menyatakan kesediaan pihaknya untuk menerima kepulangan wanita ibu tunggal beranak dua itu dalam apa juga keadaan
“Dua anak Bella (masing-masing) berusia empat dan dua tahun dahagakan kasih sayang ibu mereka. Turut merindui Bella adalah ibunya yang semakin terjejas kesihatan akibat rungsing akan keselamatan anak bongsunya itu apatah lagi ketika keluar dia hanya sehelai sepinggang dan tidak membawa duit walau 10 sen,” katanya ketika ditemui hari ini.
Semalam, Norisham bersama ibunya Noraini Salleh, 55, dan beberapa orang ahli keluarga mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah bagi mendapatkan penjelasan hasil siasatan kehilangan adiknya itu.
Sementara itu, Ismail Dollah berkata, siasatan masih berjalan dan ia meliputi pelbagai aspek bagi memastikan Bella dapat ditemui secepat mungkin. – KOSMO! ONLINE