PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) melaporkan cuaca cerah di sekitar Semenanjung selain tiada hujan di kebanyakan kawasan bahagian barat pada pagi ini.
Menerusi laporan cuaca MetMalaysia, keadaan ini dijangka akan berlanjutan sehingga tengah hari.
“Bagaimanapun, hujan dan mendung di satu dua kawasan terutama bahagian berhampiran pantai di Terengganu, Pahang serta timur Johor yang dijangka beransur reda lewat pagi ini.
“Kecuali selatan Johor yang tertumpu di bahagian timur yang dijangka boleh berlanjutan dalam tempoh amaran sedang berkuat kuasa,” katanya pada hantaran video di YouTube pagi ini.
Dalam masa sama, Sarawak turut dilaporkan tiada hujan di semua kawasan pada pagi ini, yang mana keadaan ini boleh berlanjutan sehingga tengah hari.
“Sabah pula cerah di kebanyakan kawasan, namun di satu dua tempat di Sandakan, Kudat dan Tawau yang mana keadaan cuaca lembap di timur Sabah akan beransur reda lewat pagi nanti,” ujarnya.
Semalam, MetMalaysia telah mengemas kini amaran hujan berterusan peringkat waspada melibatkan negeri Johor di Mersing dan Kota Tinggi, berkuat kuasa semalam sehingga esok.
Berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin timuran dijangka berlaku di selatan Semenanjung, Sarawak dan timur Sabah sehingga 7 Januari. – KOSMO! ONLINE