PEMAIN beregu lelaki No.1 kebangsaan, Aaron Chia masih menyimpan hasrat untuk dia dan gandingannya, Soh Wooi Yik agar dapat merampas takhta No.1 dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pemburuan itu akan bermula apabila mereka menggalas harapan negara pada kejohanan Terbuka Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil dari 9 hingga 14 Januari ini.
Justeru, Aaron berharap mereka dapat memulakan kempen 2024 dengan langkah kanan, namun sedar ia bukan sesuatu yang mudah, sekali gus bersedia untuk memberikan segala-galanya pada aksi Jelajah Dunia Super 1000 itu.
“Memang kami berharap untuk memulakan kejohanan pertama tahun ini dengan keputusan yang baik. Bagi saya, ia sesuatu yang penting kerana kami akan beraksi di laman sendiri pada Terbuka Malaysia.
“Itu (No.1 dunia) sentiasa menjadi sasaran, tetapi kita tunggu sahaja masanya sampai nanti. Kalau cakap banyak pun tidak boleh kerana nanti orang anggap kita cakap sahaja,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Tambah pemain kelahiran Melaka itu lagi, dia juga enggan meletakkan sasaran spesifik pada Terbuka Malaysia nanti bagi mengelakkan kata-kata negatif sekiranya gagal mencapai sasaran tersebut.
“Sebab itu saya tidak gemar bercakap mengenai sasaran kerana situasinya sama sahaja. Apabila letakkan sasaran juara, jika tidak dapat, (orang ramai) cakap tidak betul. Apabila sasar suku akhir, mereka cakap kita sasar suku akhir sahaja.
“Justeru, saya hanya fokus pada permainan sendiri,” ujarnya yang bakal membuat perhitungan dengan beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard pada pusingan pertama nanti.
Untuk rekod, pencapaian terbaik yang pernah dilakar bekas juara dunia itu pada Terbuka Malaysia adalah ketika edisi 2022 apabila mara ke pentas separuh akhir sebelum tewas kepada beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.