fbpx

Warga asing kembali tawan ‘Little Dhaka’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jalan Silang di ibu negara atau lebih dikenali sebagai ‘Little Dhaka’ yang diserbu pihak berkuasa pada 21 Disember lalu kembali dipenuhi warga asing yang berkumpul dan melepak berikutan cuti umum sempena Tahun Baharu 2024 semalam.

Tinjauan Kosmo! mendapati, ribuan warga asing memenuhi laluan kaki lima dan premis di lokasi tersebut. Antara premis yang menjadi tumpuan termasuklah kedai menjual alat telekomunikasi, pakaian dan kedai makan.

Selain itu, kumpulan warga asing tersebut turut menjadikan lorong dan hentian bas di sekitar Lebuh Pudu sebagai tempat mereka berkumpul dan bertemu rakan senegara.

Menurut seorang peniaga yang enggan dikenali, kawasan ‘Little Dhaka’ itu kembali menjadi tumpuan golongan warga asing selepas lebih se­minggu operasi secara besar-besaran dilaksanakan pihak berkuasa di kawasan berkenaan.

“Seminggu selepas operasi dibuat memang sunyi, kurang nampak pergerakan warga a­sing di sini, tetapi sejak minggu lepas terutamanya pada hujung ming­gu, kawasan ini kembali meriah seperti sedia kala.

“Sama seperti hari ini (semalam), jika dapat dilihat ramai warga asing berkumpul dan membeli-belah di sini.

“Mungkin sebab cuti umum, jadi ramai warga asing keluar dan ambil kesempatan untuk berjumpa rakan mereka,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, rakyat tempatan yang dikenali sebagai Zaki, 45, memberitahu, dia tidak menyangka walaupun lokasi itu pernah diserbu pihak berkuasa sebelum ini, namun masih ramai warga asing yang kembali berkumpul dan melepak.

“Tindakan mereka ini seolah-olah tidak takut kepada pihak berkuasa, mungkin juga kerana mereka memiliki pasport atau pengenalan diri dokumen yang sah.

“Saya harap pihak berkuasa sentiasa memantau lokasi di sini dari semasa ke semasa. Saya rasa seperti bukan berada di Kuala Lumpur apabila masuk ke kawasan Jalan Silang dan Lebuh Pudu,” katanya.

Kosmo! pada 21 Disember lalu melaporkan satu batalion anggota dan pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) menggempur ‘Little Dhaka’ dalam usaha membanteras isu kebanjiran warga asing di ibu negara.

Dalam operasi itu, sebanyak 60 premis perniagaan turut di­serbu kerana dipercayai menggaji warga asing.

Operasi bermula pukul 11 pagi itu disertai seramai 1,138 pegawai dan anggota Jabatan Ke­selamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam melibatkan Bridged Tengah PGA, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Unit Anjing Pengesan.

Turut terlibat beberapa agensi kerajaan lain.

Berita berkaitan: 1,101 PATI ‘Little Dhaka’ masuk jerat

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI