fbpx

Eksekutif jadi mangsa scammer songlap duit syarikat RM680,000 dijel 24 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara 24 tahun oleh Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini. -Foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Seorang bekas eksekutif dijatuhi dipenjara 24 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah dan salah guna wang milik majikannya berjumlah RM680,108.13.

Tertuduh, Tan Siau Ling, 43, membuat pengakuan itu dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail dan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Siau Ling yang berkhidmat di Syarikat Hap Yeng Seng Sdn. Bhd. didakwa memindahkan wang daripada akaun United Overseas Bank milik syarikat tersebut ke dalam beberapa akaun bank peribadi dan bekas suaminya berjumlah RM680,108.13.

Perbuatan itu dilakukan di Syarikat Hap Yeng Seng Sdn. Bhd., Plaza Mahkota Melaka di sini pada 24 Mei hingga 23 Oktober 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan serta denda.

Mengikut fakta kes, pengarah urusan syarikat itu membuat semakan audit pembayaran kepada pembekal pada 30 September 2019 dan mendapati berlaku penyelewengan membabitkan 47 transaksi yang tidak sah.

Semakan lanjut mendapati invois bayaran dan baucar pembayaran nama syarikat yang dibayar adalah berbeza kerana tertuduh memindahkan wang tersebut ke dalam beberapa akaun miliknya dan bekas suaminya.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Rashidah Baharom mencadangkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat, selain mengambil kira nilai kerugian lebih RM300,000 yang ditanggung syarikat berkenaan.

Peguam Nur Atifah Kamal Effendi bagaimanapun memohon hukuman penjara minimum dengan alasan tertuduh yang juga ibu tunggal telah insaf. Tertuduh menanggung tiga anak yang masih bersekolah serta ibunya uzur.

Nur Atifah memaklumkan tertuduh bertindak demikian kerana terdesak selepas terlibat dalam pelaburan palsu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh wanita itu ditangkap pada 20 Jun 2023.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI