PETALING JAYA – Konsert Milenia yang tertunda sebanyak tiga kali bakal direalisasikan di Zepp Kuala Lumpur pada 27 Januari ini.
Pengarah Urusan Mission Sight Sdn.Bhd, Jeffri Yaacob berkata, pindaan ke lokasi baharu dari Stadium Malawati Shah Alam menjanjikan konsert gabungan penyanyi dangdut Malaysia dan Indonesia itu lebih intim.
“Kami berdepan cabaran perang persepsi kerana faktor situasi semasa yang mengakibatkan penangguhan ke tarikh lain atas permintaan pihak berwajib.
“Meskipun kapasiti penonton di Zepp KL bukan seperti Stadium Malawati Shah Alam, namun konsert ini perlu direalisasikan bagi mengangkat irama dangdut.
“Konsert ini juga membuktikan corak persembahan nanti tidak keterlaluan, selain mematuhi garis panduan Pusat Permohonan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL),” katanya kepada HibGlam.
Konsert Milenia 2024 yang membariskan penyanyi dangdut tanah air, Amelina dan Mas Idayu itu juga bakal dimeriahkan dengan kemunculan Baby Shima serta Ani Maiyuni.
Artis Indonesia yang akan tampil menghangatkan pentas pula ialah Hesty Klepek Klepek, Rheyna Morena dan Thomas Arya.
Jeffri berkata, dua penyanyi Indonesia iaitu Siti Badriah dan Fitri Carlina yang sebelum ini berada dalam senarai tidak dapat menyertai konsert atas faktor yang tidak dapat dielakkan.
“Kami juga ingin memaklumkan Siti Badriah dan Fitri Carlina tidak dapat turut serta kerana tarikh baharu ini bertembung dengan jadual mereka di Jakarta.
“Sebagai bonus, kami turut menerbangkan DJ Dugem terkenal dari seberang yang akan memainkan lagu trending di TikTok dalam irama dugem” ujarnya.
Pada masa sama, Jeffri mengakui peralihan lokasi ke premis yang lebih kecil daripada perancangan asal memberi perubahan kepada pelan termasuk harga tiket.
Terdapat lima zon ditawarkan menerusi ticket 2u.com iaitu Early Bird iaitu Standing Milenia RM219 (berdekatan pentas), Standing Koplo (RM199) serta Zon Free Seating Diamond (RM239).
Tempat duduk VIP Seating Gold pula berharga RM279 (bertemu artis dan barangan premium) manakala Zon VVIP Box untuk lapan orang termasuk sesi dengan penyanyi, barangan premium serta makan malam RM4,499.
Sebelum ini Konsert Milenia yang dijadualkan berlangsung pada 25 November lalu ditangguhkan bagi menghormati situasi perit dialami rakyat Palestin akibat serangan Israel. – KOSMO! ONLINE