PYONGYANG – Pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un mengarahkan pegawai-pegawai tertingginya untuk menggunakan kekerasan maksimum terhadap Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) sekiranya dua sekutu tersebut memulakan konfrontasi ketenteraan.
Seoul dan Washington telah meningkatkan kerjasama pertahanan dalam menghadapi siri ujian senjata dan peluru berpandu Pyongyang yang mencatat rekod tertinggi sepanjang tahun lalu.
Semasa mengadakan satu pertemuan bersama pegawai pemerintah utama Korea Utara di Pyongyang pada malam tahun baharu kelmarin, Jong-un berkata, tenteranya harus ‘memusnahkan’ musuh jika ia melakukan provokasi.
“Jika musuh memilih konfrontasi dan provokasi ketenteraan terhadap Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK), tentera kita perlu melancarkan serangan maut untuk memusnahkan mereka secara menyeluruh serta menggerakkan semua cara dan potensi paling sukar tanpa ragu-ragu,” katanya.
Jong-un sebelum ini mengeluarkan ancaman baharu serangan nuklear ke atas Seoul. Beliau turut mengarahkan tenteranya membangunkan senjata bagi bersiap sedia menghadapi perang yang dibimbangi boleh meletus pada bila-bila masa di Semenanjung Korea.
Sementara itu, Jong-un berkata, pihaknya tidak akan lagi mencari perdamaian dan penyatuan semula dengan Korea Selatan susulan krisis tidak terkawal yang dicetuskan oleh Seoul dan Washington.
Semasa mesyuarat yang bertujuan menetapkan agenda dasar untuk 2024 malam kelmarin, Jong-un turut menuduh AS menimbulkan pelbagai bentuk ancaman ketenteraan.
Dalam pada itu, Presiden Yoon Suk-yeol semalam berikrar bahawa Korea Selatan akan mengekalkan provokasi terhadap tentera Pyongyang dengan menjalankan sistem pencegahan lanjutan bersama Washington yang dijadulkan pada separuh pertama 2024. – AFP