BERDASARKAN sejarah Piala Asia, enam negara yang pernah menjadi tuan rumah berjaya menjuarai trofi berprestij itu seperti Korea Selatan, Israel, Kuwait, Jepun dan Australia serta Iran sebanyak dua kali.
Tumpuan kini tertumpu ke arah Qatar yang menjadi penganjur ‘bidan terjun’ untuk kempen kali ini yang juga ketiga dalam sejarah negara itu selepas edisi 1988 dan 2011.
Atas kertas, The Maroons adalah pasukan yang cukup berpotensi memandangkan status mereka sebagai kuasa besar baharu bola sepak Asia berdasarkan kejayaan sebagai juara bertahan edisi Piala Asia 2019 di Emiriyah Arab Bersatu.
Namun, harus diingat cabaran mereka kali ini agak seimbang selepas diundi dalam Kumpulan A bersama China, Lebanon dan Tajikistan.
Apa yang pasti, pengendali Qatar, Tintin Marquez pastinya mahu menjadikan kejohanan kali ini sebagai medan menebus maruah selepas dianggap gagal ketika menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.
Marquez sudah pasti ada perancangan tersendiri dan jika boleh melakar kemenangan ketika bertemu Lebanon pada perlawanan pembukaan nanti, peluang untuk mereka keluar daripada peringkat kumpulan sangat cerah.
Mengenai pilihan pemain, Qatar mengambil pendekatan menggunakan sepenuhnya tonggak yang beraksi di liga domestik dengan tunjang utama terletak kepada penyerang Almoez Ali dan kapten, Hassan Al-Haydos yang sudah membuat 176 penampilan antarabangsa. – KOSMO! ONLINE