BATU PAHAT – “Perjuangan hampir selesai”, itulah yang tercatat dalam hantaran di media sosial milik kakak wanita ibu tunggal selepas dilaporkan hilang sejak 14 Disember tahun lalu.
Norisham Samsusah, 36, dalam catatannya berkata, walaupun adiknya Mira Sharmila atau Bella masih belum ditemui namun perkembangan siasatan menunjukan perkembangan positif.
Katanya, melalui laporan yang diberikan kepada keluarganya, peluang untuk menemui kembali Bella adalah tinggi namun semuanya diserahkan kepada ketentuan Allah.
“Kami reda dengan sebarang kemungkinan, apa yang penting adalah Bella dapat dikembalikan kepada keluarga samada hidup atau mati.
“Apa sahaja perkembangan akan saya kongsikan kemudian kerana dengan perhatian semua kejadian melibatkan adik saya mendapat perhatian semua pihak,”katanya.
Menurut Norisham lagi, selepas 18 hari tanpa jemu bertemu dengan pihak berkaitan yang menyiasat kehilangan wanita ibu tunggal beranak dua itu, keluarganya sudah menghampiri jawapan yang dinantikan.
Ujarnya, pertemuan akan dilakukan hari ini bagi mengesahkan siasatan, terima kasih kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta orang ramai yang telah banyak membantu kehilangan Bella.
“Apa yang saya harapkan hanyalah doa daripada semua agar dimudahkan segala urusan bagi mengesan kehilangan adik, ibu dan anak-anaknya semakin merinduinya,” katanya.
Pada 14 Disember lalu, Mira Sharmila dilaporkan hilang selepas dilihat keluar dengan teman lelakinya menggunakan kereta Toyota Vios kira-kira pukul 11.50 malam namun tidak pulang ke rumah sehingga hari ini.
Mira Sharmila dikatakan ditinggalkan teman lelakinya di tepi jalan selepas berlaku perselisihan faham, ketika keluar wanita yang lebih dikenali sebagai Bella itu tidak membawa sebarang dokumen diri dan menggunakan baju T dan seluar jeans berwarna gelap.-KOSMO! ONLINE