fbpx

Pembangunan PADU lalui beberapa fasa – Nor Azmie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Azmie

PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron menjelaskan Pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU) akan melalui beberapa fasa.

Beliau berkata, bagi fasa pertama, pengumpulan data pentadbiran bagi pembangunan PADU lebih menumpukan kepada kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan yang mempunyai pangkalan data masing-masing.

Katanya, agensi kerajaan yang beroperasi di negeri dan daerah juga mempunyai kepelbagaian data granular sehingga ke peringkat lokaliti dan berfrekuensi tinggi.

“Sehubungan itu, keterlibatan semua agensi kerajaan dalam perkongsian data dalam fasa seterusnya merupakan perkara asas dalam usaha untuk melengkapkan lagi maklumat di dalam PADU,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran PADU di Pusat Konvensyen Antarabansa Putrajaya (PICC) hari ini.

Jelasnya, setakat ini, sebahagian besar agensi pada peringkat Persekutuan telahpun bersetuju untuk membekalkan data bagi sistem berkenaan.

“Antaranya termasuk, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Pelajaran dan Tenaga Nasional Berhad,” ujarnya.

Tambah Nor Azmie, PADU juga memerlukan beberapa maklumat penting daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan antaranya melibatkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi data gaji, pendapatan dan pencen penjawat awam negeri serta bantuan khusus daripada kerajaan negeri.

“Selain itu, Majlis Agama Islam bagi maklumat mengenai status perkahwinan dan penceraian, agensi zakat negeri bagi data pemberi dan penerima zakat.

“Ia turut melibatkan, pejabat atau agensi yang bertanggungjawab dengan urusan berkaitan pemilikan tanah, pihak berkuasa tempatan bagi data kediaman dan pembekal perkhidmatan bagi maklumat mengenai utiliti,” katanya.

Mengulas lanjut, bagi fasa seterusnya beliau berkata, pelbagai agensi lain pada peringkat negeri dan kerajaan tempatan akan turut dilibatkan bagi memastikan maklumat yang lebih lengkap dapat diintegrasikan di dalam sistem PADU. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI