PUTRAJAYA-Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan disegerakan oleh kerajaan selepas tertangguh sebelum ini ekoran kedudukan kewangan negara yang dibebani hutang terdahulu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu tidak dapat dilaksanakan tahun lalu ekoran Kerajaan Perpaduan mewarisi kedudukan kewangan terdahulu yang tinggi iaitu sebanyak RM1.5 trilion dengan defisit 5.6 peratus.
“Alhamdulillah, dengan pimpinan kerajaan dan semua yang terlibat, kita dapat kurangkan (defisit) jadi lima peratus.
“Maknanya, kalau kita ada fokus jelas dan komitmen untuk laksana dengan baik, saya percaya ia boleh dilakukan seperti pelancaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelacaran PADU di Pusat Konvensyen Putrajaya di sini tadi.
Hadir sama pada pelancaran itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan barisan Kabinet yang lain. – KOSMO! ONLINE