PUTRAJAYA – Pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU) dapat membantu kerajaan menyediakan pengukuran kedudukan sosioekonomi rakyat yang lebih tepat dan mengelakkan keciciran berdasarkan pendapatan boleh guna bersih.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kaedah pengukuran ini mengambil kira jumlah tanggungan dan bilangan isi rumah, kos sara hidup mengikut lokasi, jarak ke tempat kerja serta pemilikan aset seperti rumah, kenderaan dan tanah.
“Pendekatan ini juga membolehkan kerajaan beralih daripada konsep B40, M40 dan T20 tetapi lebih melihat kepada kewajaran pemberian bantuan berdasarkan kriteria yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan aluan pada majlis Peluncuran PADU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Rafizi berkata, kerajaan juga menyedari isu keselamatan siber sememangnya antara perkara yang menjadi kebimbangan rakyat dengan pembangunan pengkalan berkenaan turut mengambil kira segala aspek berkaitan risiko keselamatan sistem dan kebocoran maklumat terperingkat.
Jelasnya, bagi memastikan pengendalian data yang selamat, prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif telah diwujudkan. – KOSMO! ONLINE