KOTA BHARU – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM328,700 sepanjang tiga gelombang banjir yang melanda negeri ini sejak November lalu.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Zamri Abdul Aziz berkata, bagaimanapun, jumlah sebenar kerugian akan diperoleh selepas semua sekolah yang terlibat selesai membuat laporan.
Menurutnya, sekolah-sekolah yang terjejas semasa banjir melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Krai, Pasir Mas dan Tumpat.
“Sehubungan itu, semua murid yang terlibat dengan banjir dibenarkan berpakaian biasa untuk hadir ke sekolah hari ini.
“Langkah itu bertujuan memastikan murid dapat hadir ke sekolah dan mengikuti sesi pembelajaran dengan sempurna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Zamri memberitahu, JPN Kelantan memahami masalah yang dihadapi oleh murid dan pelajar yang terlibat banjir apabila uniform mereka ditengelami air semasa banjir.
Tambahnya, pihaknya kita akan berusaha untuk mendapatkan bantuan yang sesuai bagi meringankan beban mereka yang memerlukan. – KOSMO! ONLINE