GUA MUSANG – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menghantar 20 tan bekalan makanan kepada keluarga Orang Asli di lima buah pos pedalaman di sini yang terputu hubungan akibat banjir menggunakan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Bekalan makanan seperti beras, minyak masak dan barangan makanan lain itu dihantar kepada 1, 097 Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli di Pos Balar, Pos Bihai, Pos Belatim, Pos Simpor dan Pos Gob.
Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Sapiah Mohd. Nor berkata, operasi itu menggunakan helikopter Mi-171 milik Unit Udara JBPM dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah.
Katanya, operasi penghantaran bakul makanan ke 56 buah kampung di lima buah pos itu bermula semalam dan dijangka berakhir pada Jumaat ini.
“Terima kasih kepada Unit Udara JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang kerana memberi kerjasama yang baik dalam menangani masalah terputus makanan di kawasan pedalaman Orang Asli.
“Kita harap kerjasama berterusan dapat dilakukan dalam menghadapi isu seperti banjir dan serangan haiwan liar ketika Jakoa tidak dapat memasuki kampung pedalaman akibat terputus jalan perhubungan darat,” katanya selepas meninjau operasi penghantaran bakul makanan di padang Dewan Kompleks Serbaguna Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim dan Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan.
Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Amir Fitri Salim berkata, seramai 19 anggota terlibat dalam operasi tersebut dengan lebih empat tan makanan sudah dihantar ke tiga penempatan Orang Asli iaitu di Kampung Gawin, Pos Gob dan Pos Bihai.
Menurutnya, operasi itu diteruskan hari ini ke empat kawasan yang terlibat iaitu Kampung Perawas, Kampung Sempadik, Kampung Dakoh di Pos Balar dan Pos Belatim yang membabitkan kira-kira enam tan bekalan makanan. – KOSMO! ONLINE