PETALING JAYA – Konflik di antara Palestin dan Israel sudah berlanjutan hampir tiga bulan apabila lebih 90 peratus bangunan di Semenanjung Gaza musnah sekali gus menjadikan rakyat di sana seperti pelarian setelah hilang tempat berlindung.
Seorang jurugambar Palestin, Motaz Azaiza menyifatkan unit rawatan rapi (ICU) di beberapa hospital yang masih mampu beroperasi sebagai ruang daif apabila kebanyakan peralatan rawatan sudah rosak dan sumber ubat-ubatan juga telah lama habis.
Selain itu, keadaan di sana juga terlalu sesak dengan kehadiran penduduk yang mengalami kecederaan parah akibat ditembak dan dibom oleh rejim Zionis apabila tentera penceroboh itu semakin menggila menyerang seluruh bumi Gaza.
“Di dalam ICU, terlalu sesak dan kotor untuk dipanggil ICU disebabkan oleh sejumlah besar kecederaan yang tiba ke hospital selepas setiap serangan udara oleh tentera Israel, tiada ruang untuk sesiapa walaupun untuk pasukan perubatan.
“Dengan kekurangan besar dalam peralatan kesihatan, alat merawat dan juga tiada bekalan perubatan.
“Ramai orang yang cedera akhirnya kehilangan nyawa mereka semasa menunggu untuk mendapatkan bantuan perubatan,” tulis Motaz di ruangan kapsyen gambar terbaharu yang dimuat naik di laman Instagramnya.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan di Gaza memaklumkan, operasi ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu telah membunuh 21,822 rakyat Palestin dan mencederakan 56,451 yang lain.
Jelas kementerian tersebut, angka itu termasuk 150 rakyat Palestin yang terbunuh manakala 286 lagi cedera dalam tempoh 24 jam lepas. – KOSMO! ONLINE