LIVERPOOL – Bintang Liverpool, Mohamed Salah mendedahkan, keputusannya untuk menukar but baharu di separuh masa kedua membawa tuah apabila berjaya meledak dua gol menewaskan Newcastle United 4-2 di Anfield awal pagi tadi.
Salah berbuat sedemikian selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam babak pertama yang menyaksikan percubaannya diselamatkan penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka.
“Ya saya tukar but. Ia bukan khurafat kerana saya telah menggunakan banyak but, tetapi apabila ia bermain di fikiran, saya terpaksa menukarnya.
“Saya tenangkan fikiran dan fokus kepada perlawanan selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti. Saya terfikir ‘adakah saya mahu bersama pasukan kebangsaan dengan prestasi seperti ini?’ Sudah tentu tidak.
“Jadi saya cuba melakukan perbezaan apabila masuk separuh masa kedua dan saya berjaya lakukannya,” kata Salah yang turut berhasil mencipta satu umpanan jaringan kepada Cody Gakpo.
Dua jaringan itu menyaksikan Salah kini berkongsi status penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan bintang Manchester City, Erling Haaland menerusi 14 gol.
Sebagai rekod, The Reds kendalian Jurgen Klopp kini mendahului carta EPL dengan kelebihan tiga mata ke atas Aston Villa di tempat kedua. – AGENSI