LISBON, Portugal – Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo menghadiahkan kereta mewah Porsche Cayenne kepada ibunya sempena hari ulang tahun kelahiran wanita itu yang ke-69, lapor portal berita MailOnline semalam.
Ibu Ronaldo, Dolores Aveiro menyambut ulang tahun kelahirannya kelmarin, manakala bintang bola sepak berkenaan kembali ke Kepulauan Madeira di Portugal untuk meraikan momen penting buat dirinya.
Aveiro dibawa melihat kenderaan itu oleh anak lelaki Ronaldo, Cristiano Ronaldo Jr dan dia tidak dapat menahan sebak selepas menyedari hadiah yang diberikan kepadanya.
Wanita tersebut kemudian memeluk cucunya sebelum masuk ke dalam Porsche Cayenne itu buat kali pertama.
Dia kemudian ditunjukkan secara ringkas bagaimana kenderaan baharu itu berfungsi, manakala keluarganya termasuk Ronaldo sendiri, melihatnya dari dalam sebuah garaj.
Kakak Ronaldo, Katia, memuji adiknya itu di laman Instagram kerana bermurah hati memberikan hadiah kenderaan tersebut kepada ibu mereka. – AGENSI