PETALING JAYA – Mengambil buah daripada tanaman yang ditanam di tempat awam oleh pihak perbandaran adalah dibenarkan sekiranya tiada larangan khusus dikenakan, namun tidak dibenarkan dalam jumlah yang banyak atau tujuan jualan.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sekiranya terdapat larangan berdasarkan papan tanda tidak dibenarkan mengambil buah-buahan, maka ketika itu tidak dibenarkan untuk mengambilnya.
“Tetapi jika buah tersebut buruk atau jatuh berguguran tanpa diambil sehingga membawa kepada pembaziran, maka bolehlah ketika itu pihak wakil penduduk meminta kepada pihak bertanggungjawab bagi memberi kebenaran mengambil buah-buahan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi aplikasi Alinarah menjelaskan pertanyaan seorang pengirim mengenai hukum memakan buah yang ditanam di tempat awam oleh perbadanan sesebuah bandar, misalnya jambu air atau mempelam ditanam di tepi tasik tempat orang ramai beriadah.
Sementara itu, Zulkifli berkata, harus difahami tujuan asal penanaman tersebut oleh pihak perbandaran.
“Jika tanaman tersebut ditanam dengan tujuan menjual hasilnya dan pendapatan daripada hasil tanaman tersebut digunakan untuk kepentingan umum, maka buah daripada tanaman tersebut tidak boleh diambil kerana ia ditanam dengan tujuan kepentingan masyarakat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam isu mengambil buah ditanam oleh perbadanan sesebuah bandar di kawasan awam, pihaknya berpandangan sekiranya mengambilnya dalam jumlah sedikit seperti satu atau dua biji, maka ia dibolehkan.
“Namun sekiranya mengambil dalam jumlah yang banyak atau mengambilnya untuk tujuan menjualnya, maka perbuatan tersebut tidak dibolehkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.