PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluahkan rasa kecewa atas sikap segelintir rakyat Malaysia yang masih gemar membuang sampah sesuka hati.
Menurutnya, masalah sampah yang dialami setiap kali tibanya tahun baharu itu membuktikan bahawa cara fikir sesetengah rakyat Malaysia masih lagi di takuk yang lama.
“Hari ini merupakan hari pertama kita menjejaki tahun 2024. Semalam, tahun 2023 ditinggalkan dengan seribu kenangan.
“Masing-masing daripada kita sudah pasti memasang azam untuk lebih berjaya dalam mengejar impian pada tahun ini.
“Tetapi, orang ramai masih lagi membuang sampah sesuka hati dengan anggapan sampah tersebut bakal dibersihkan oleh DBKL nanti,” katanya.
DBKL berkata, masyarakat perlu berhenti membanding-bandingkan keindahan Kuala Lumpur dengan bandar di negara lain sekiranya sikap masing-masing terhadap kebersihan tidak berubah.
“Kami tidak minta anda tolong bersihkan kawasan. Cukup sebagai sebagai permulaan, masing-masing urus sampah sendiri.
“Jangan buang sampah merata-rata dan kalau perlu, bawa plastik sampah sendiri,” katanya.
Dalam hantaran sama, DBKL turut berkongsi beberapa keping gambar keadaan kaki jalan yang dipenuhi sampah usai sambutan ambang tahun baharu, malam semalam. – KOSMO! ONLINE