BESUT – Sebanyak 2,670 keluarga di Bukit Keluang di sini bakal mengalami gangguan bekalan air sehingga 21 hari ekoran kebocoran paip di dasar Sungai Besut berhampiran Jambatan Kampung Lampu di sini hari ini.
Jurucakap Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) berkata, gangguan luar jangka itu melibatkan 11 penempatan di kawasan terbabit.
“Ia disebabkan kebocoran paip bersaiz 600 milimeter (mm) yang terdapat di dasar Sungai Besut.
“Kerja–kerja pembaikian akan dijalankan oleh kontraktor dilantik,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap Satu berkata, semua kawasan terlibat dijangka bakal mengalami gangguan bekalan air dari 1 Januari hingga 21 Januari depan.
Beliau berkata, Satu sedang menghantar bekalan air alternatif di kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan terhadap premis kritikal.
“Sebanyak enam buah lori tangki air dan 49 buah tangki statik sedang ditempatkan di lokasi beekenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE