fbpx

Tabung Bantulah Fiza! capai sasaran, jenazah dibawa pulang minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JENAZAH Allahyarham Fiza dijangka dibawa pulang minggu depan selepas selesai urusan pendaftaran dokumen kematian.

PETALING JAYA – Tabung Bantulah Fiza yang dilancarkan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) bagi membawa pulang jenazah wartawan hiburan yang meninggal dunia di Hospital Caring Call, London, Siti Nor Hafiza Kamarudin mencecah sasaran iaitu sebanyak RM40,585.34.

Presiden Wham, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak dan individu itu sudah disalurkan terus ke akaun suami Allahyarham, Mohd Roshdi Ramli, 40, yang kini masih berada di sana.

“Kami sangat bersyukur, hanya dalam masa 48 jam selepas dilancarkan, Tabung Bantulah Fiza berjaya mencapai sasaran kutipan yang diperlukan bagi kos membawa pulang jenazah ke tanah air.

“Penderma terdiri dalam kalangan rakan media, artis serta orang ramai yang menyalurkan bantuan sebagai tanda prihatin selain turut berdukacita atas pemergian arwah yang banyak memberi sumbangan terhadap dunia penulisan seni dan hiburan tanah air,” katanya.

Menurut Tengku Khalidah, berikutan jumlah diperlukan sudah mencukupi, tabung berkenaan akan ditutup hari ini.

“Seluruh keluarga WHAM merakamkan berbanyak terima kasih di atas keprihatinan semua. Setelah sasaran mencukupi, tabung Bantulah Fiza yang dianjurkan WHAM ditutup,” ujarnya.

Berkenaan perkembangan terbaru membabitkan urusan dokumentasi mendapatkan surat mati, katanya pihak keluarga masih menunggu dokumen kematian daripada pihak hospital bagi proses membawa pulang jenazah.

“Suami arwah ada memaklumkan kepada saya mungkin pada Selasa atau Rabu depan, baru dokumen kematian dikeluarkan.

“Memandangkan ketika ini ramai petugas sedang bercuti bagi sambutan Krismas dan tahun baru, urusan mendapatkan dokumen kematian akan mengambil sedikit masa.

“Selepas dokumen kematian diperolehi, urusan dengan pihak syarikat pengurusan jenazah di sana dapat disempurnakan diikuti urusan dengan syarikat penerbangan untuk balik Malaysia,” katanya.

Ulas Tengku Khalidah, kerjasama daripada pihak Kedutaan Malaysia di London dan sahabat media di sana menjadikan segala urusan Allahyarham dan keluarganya berlangsung dengan baik.

“Suami dan dua anak arwah yang kini masih berada di London turut mendapat bantuan pelbagai pihak, termasuk Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

“Pegawai media beliau juga berjaya mendapatkan tajaan penginapan untuk keluarga arwah di sana, sementara menanti penerbangan pulang ke tanah air yang dijangka hanya dapat dilakukan pada minggu depan,” katanya.

Fiza adalah pengarang portal Boom Malaysia sebelum ini pernah berkhidmat dengan beberapa portal seni dan hiburan termasuk Astro Gempak dan Murai.com.

Dia yang juga pengidap kanser payudara koma di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow beberapa jam sebelum penerbangan pulang ke Malaysia selepas percutian yang ditaja, bersama keluarga.

Dia kemudian dimasukkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada pukul 11.30 malam (waktu Malaysia). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI