PASIR PUTEH – Kehidupan penduduk yang mendiami pesisir Pantai Bisikan Bayu, Semerak di sini, semakin tidak tenang susulan kejadian angin kencang dan ombak besar yang berlaku sejak beberapa hari lalu.
Lebih membimbangkan apabila kejadian angin kencang dan ombak besar itu turut merosakkan kediaman penduduk selain berisiko untuk runtuh.
Seorang warga emas, Nik Awang, 81, berkata, sebahagian atap rumahnya telah diterbangkan angin baru-baru ini.
Menurutnya, ombak besar yang kerap berlaku turut mengancam struktur kediamannya dengan bahagian dapur sering dinaiki air laut.
“Rumah saya hanya terletak beberapa meter dari pesisir Pantai Bisikan Bayu.
“Kawasan tebing juga sudah terhakis dan apa yang saya bimbang adalah pokok kelapa yang berada di belakang rumah yang hanya menunggu masa untuk tumbang.
“Keadaan itu menyebabkan saya terpaksa berpindah ke rumah anak, Rosnani Harun, 50, yang terletak di bandar Pasir Puteh kerana bimbang dengan keselamatan diri,” katanya ketiak ditemui di sini semalam.
Nik sebelum itu menerima kunjungan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tok Bali, Che Azrul Azmeri Che Abdullah yang hadir melihat keadaan di pesisir pantai berkenaan.
Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! mendapati, dua lagi rumah penduduk ketika ini berisiko untuk dibadai ombak apabila terletak hanya kira-kira 10 meter dari pinggir laut.
Selain itu, premis menjual makanan, kilang keropok dan tempat memproses ikan kering turut ditutup sejak dua minggu lalu berikutan bimbang hakisan bertambah teruk semasa musim tengkujuh.
Menurut Nik, angin kuat ketika ini turut menyebabkan rumahnya bergoyang ketika dihempas ombak besar selain berlaku air pasang besar pada setiap petang.
Sementara itu, Che Azrul memberitahu, pihaknya telah membuat tinjauan dan bertemu penduduk yang terjejas di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pihak bomba akan mengambil tindakan segera dengan meminta penduduk berpindah ke rumah saudara-mara atau anak-anak buat sementara waktu.
“Bendera merah turut dinaikkan sebagai tanda amaran laut berbahaya di sepanjang Pantai Tok Bali hingga ke Pantai Bisikan Bayu bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Pengunjung dilarang mandi-manda di pantai dan berada di kawasan pokok ru yang mungkin patah atau tumbang sepanjang Monson Timur Laut,” katanya.