SEREMBAN – Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal dinaikinya dirempuh sebuah motosikal lain dari arah bertentangan dalam kemalangan melibatkan di Jalan Sungai Landak, Ampangan di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian pada pukul 11 malam itu, mangsa seorang lelaki berusia 29 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang oleh mangsa sedang bergerak seorang diri dari arah Dusun Nyior menuju ke arah Ampangan.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, datang sebuah motosikal jenis Honda Beat yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 16 tahun bersama pembonceng lelaki berusia 13 tahun dari Ampangan menuju ke Dusun Nyior telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan motosikal mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Arifai berkata, akibat kemalangan, mangsa penunggang serta pembonceng motosikal Honda Beat mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di zon merah Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.
“Manakala mangsa penunggang mosikal Yamaha 135LC mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE