fbpx

‘Ramai minta ziarah pusara Zayn Rayyan, saya izinkan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar perkongsian gambar pusara Zayn Rayyan di Instagram ibunya semalam.

PETALING JAYA -Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, memberi kebenaran kepada orang ramai untuk menziarahi pusara anak istimewanya yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, di sini.

Menerusi hantaran di Instagram miliknya semalam, Ismanira Abdul Manaf berkata, ia susulan ramai pihak yang meminta izin untuk melawat kubur Zayn Rayyan setelah anaknya disahkan mati dibunuh dan selamat dikebumikan pada 7 Disember lalu.

“Assalamualaikum Abang Zayn, indahnya rumah baru abang, seindah tuannya.

“Ramai yang bertanya pada saya, ramai yang minta izin nak datang ziarah pusara Zayn, boleh, saya izinkan, asalkan tidak membuat perkara yang tidak sepatutnya, saya okay saja.

“Terima kasih banyak-banyak pada semua ya sebab selalu ambil berat dan peduli tentang Zayn, dari awal Zayn hilang sampai sekarang masih lagi setia ambil peduli tentang Zayn, syukur Alhamdulillah,” tulisnya dalam hantaran itu.

Jelasnya, pusara anaknya itu belum mempunyai batu nisan namun sudah ditempah selepas beberapa hari dikebumikan.

“Ada juga yang bertanya, kenapa kubur Zayn tiada nama, tiada batu nisan lagi? Ada, kita dah tempah awal-awal hari tu, selepas beberapa hari Zayn dikebumikan kita dah siap tempah, cuma ambil masa sikit untuk siap dan pasang.

“Sekali lagi saya ucapkan terima kasih banyak-banyak pada semua yang peduli tentang Zayn dan sayang Zayn, InsyaAllah Zayn pun sayang semua, Zayn penyayang orangnya, orangnya lembut,” ujarnya.

Meninjau ruangan komen hantaran itu, ramai berterima kasih kepada Ismanira kerana memberi kebenaran untuk ‘melawat’ rumah anak syurganya itu.

“Insya-Allah ada masa kami melawat pusara rumah baru Zayn. Rindunya nak tengok Zayn bermain dengan adik,” komen ranianuranwar.

“Terima kasih Mummy Zayn. Semoga satu hari dapat melawat kubur anak syurga ini,” kata najihahabdaziz. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI