KUALA LUMPUR – Serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur ke atas Apartmen Abdullah Hukum di sini, awal pagi semalam, berjaya membongkar kebanjiran warga asing yang telah bermastautin di penempatan itu sejak tujuh tahun lalu.
Bukan hanya menganggu kehidupan harian warga tempatan, kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) itu turut mencetuskan pelbagai masalah sosial termasuklah aktiviti perjudian secara terbuka, jenayah kekerasan, mabuk dan parti bebas.
Difahamkan, Apartmen Abdullah Hukum yang mempunyai 14 tingkat kediaman itu menjadi lokasi warga asing berkumpul dan menyewa kerana berhampiran dengan pusat beli-belah terkemuka yang menjadi lokasi kebanyakan mereka bekerja.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, kira-kira 1,000 warga asing diperiksa dan 567 daripadanya berusia setahun hingga 54 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Katanya, operasi yang dijalankan 85 anggota dan pegawai lain-lain pangkat itu hasil risikan selama satu minggu dan aduan penduduk setempat tentang kebanjiran warga asing.
“Mereka yang ditahan membabitkan warga Bangladesh, Myanmar, Nepal, Indonesia, India dan Filipina.
“Antara kesalahan dikesan dilakukan PATI dalam operasi ini adalah tiada dokumen pengenalan diri, salah guna pas lawatan sosial dan tinggal lebih masa,” kata beliau ketika sidang akhbar di lokasi serbuan.
Dalam pada itu, penduduk setempat mengakui ramai warga asing yang bersikap besar kepala sehingga tidak segan silu melakukan aktiviti seperti berjudi dan minum arak di kaki lima secara terbuka.
Pengerusi Persatuan Penduduk Apartmen Abdullah Hukum, Mohd. Rosdin Mahmad Noor, 61, berkata, kebanjiran warga asing di kediaman 14 tingkat itu sebenarnya mula dikesan sejak 7 tahun lalu.
Katanya, sifat ‘besar kepala’ mereka semakin menjadi-jadi apabila berjudi secara terbuka di kaki lima bangunan, mabuk, menganggu wanita dan mengadakan parti lewat malam.
“Situasi ini menimbulkan pelbagai perasaan kurang senang dalam kalangan penduduk. Warga asing di sini semakin naik kepala sampai kita nak tegur jadi takut bahkan ada yang melawan kami balik.
“Saya sudah menetap di sini sejak 20 tahun lalu dan kalau dibiarkan isu ini, kami akan sengsara,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Rosdin mendakwa, terdapat penyewa terdiri daripada warga tempatan yang mengaut untung ribuan ringgit hasil sewaan yang tidak masuk akal terhadap warga asing.
“Ramai pemilik rumah tidak tinggal di sini dan sebab itu mereka tidak risau.
“Sewa mereka boleh sampai RM2,000 sebulan, belum kira ada bilik yang ditambah dinding dan jumlah bayaran sewa ikut kepala (individu),” dakwanya.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Hairie Harun, 25, mendakwa, kediaman tersebut menjadi pilihan warga asing kerana berdekatan dengan pusat beli-belah terkemuka dan beberapa lokasi yang memerlukan khidmat pekerja warga asing.
Hairie berkata, dia juga menjadi kurang senang apabila terdapat kediaman yang disewa menempatkan hampir 10 orang warga asing.
“Saya ada adik-beradik perempuan, jadi mahu biarkan mereka keluar rumah rasa tidak senang hati sebab mereka (warga asing) suka mabuk di kawasan tangga dan melepak berdekatan kawasan lif,” katanya.