MERSING – Jalan di Kilometer 34 Jalan Kota Tinggi – Mersing berhampiran Kilang Sawit Risda ditutup selama kira-kira lima jam kepada semua jenis kenderaan ringan sejak pukul 11 pagi tadi akibat banjir.
Bagaimanapun jalan terbabit telah dibuka semula lebih kurang pukul 4 petang tadi kepada semua jenis kenderaan selepas keadaan air surut.
Ketua Polis Daerah Mersing Superintendan, Abdul Razak Abdullah Sani berkata, kejadian banjir itu terjadi disebabkan limpahan air sungai Ambat yang melimpah.
“Ketika kejadian hujan tidak turun, tetapi jalan tersebut dinaiki air kerana air melintas akibat limpahan air dari Sungai Ambat dan ditutup untuk semua jenis kenderaan ringan serta boleh di lalui oleh kenderaan berat sahaja.
“Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dan berhati-hati semasa melalui jalan raya yang dinaiki air tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katannya, sekiranya memerlukan bantuan, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan (DCC) IPD Mersing di talian 07-7993507 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran untuk mendapatkan bantuan. – KOSMO! ONLINE