BANDAR GAZA – “Dia masih hidup, dia masih hidup!” jerit anggota sukarelawan ketika menemui seorang bayi perempuan berusia 10 bulan yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan di bandar Rafah.
Saluran berita NBC News melaporkan, bayi bernama Tala Rouqah itu ditemui di bawah tilam dalam keadaan tidak sedarkan diri dan sukar bernafas.
Di lokasi berdekatan, sukarelawan menemui tangan ibunya menjulur keluar dari serpihan konkrit, namun anggota badan selebihnya tenggelam di dalam runtuhan.
Tidak jauh dari lokasi dua beranak itu ditemui, sukarelawan menemui bapa Tala, Ahmad Rouqah yang turut dihempap runtuhan. Mereka bersorak kegembiraan selepas lelaki itu diselamatkan.
Beberapa minit kemudian, Tala akhirnya berjaya dikeluarkan dari timbunan konkrit dan dibawa ke Hospital Kuwait oleh jiran keluarga tersebut.
Ahmad bagaimanapun terpaksa dihantar ke hospital berlainan dengan anaknya. Apabila keadaannya semakin pulih keesokan pagi, dia mengimbau kembali kejadian sebelum kawasan itu dibedil dengan bom askar Israel.
Menurut Ahmad, ketika kejadian, dia baru selesai menunaikan solat dan ketika wanita dalam keluarga itu menyediakan makan malam, bangunan yang dihuni mereka dibedil.
“Kenapa, untuk apa? Hanya Tuhan yang tahu,” katanya sambil menambah, tiada seorang pun ahli keluarganya berkaitan dengan kumpulan Hamas.
Dalam pada itu, selepas keadaan kesihatannya beransur pulih, Ahmad dipertemukan kembali dengan Tala dalam suasana hiba.
Bayi itu, yang seolah-olah memahami bahawa ibunya sudah tiada, menangis ketika dipeluk bapanya yang turut sama mengeluarkan air mata.
“Di mana abang dan kakak awak? Kita sudah tiada sesiapa lagi,” kata Ahmad kepada Tala. – AGENSI