THE HAGUE, Belanda – Afrika Selatan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague dengan pertuduhan bahawa tindakan Israel di Semenanjung Gaza adalah penghapusan etnik (genosid) dan meminta langkah sementara untuk menghentikannya, lapor laman berita RT kelmarin.
“Permohonan ini menuduh perbuatan dan tindakan Israel bersifat genosid kerana komited dengan niat untuk menghapuskan penduduk Gaza yang merupakan sebahagian daripada bangsa Palestin yang lebih meluas,” kata ICJ dalam satu kenyataan.
Tindakan Rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza melanggar kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid, kata kerajaan Afrika Selatan di Pretoria.
Pretoria juga mendakwa bahawa Israel gagal mencegah penghapusan etnik Palestin dan tidak mengambil tindakan terhadap hasutan secara langsung dan awam terhadap genosid sejak perang bermula 7 Oktober lalu.
Afrika Selatan juga meminta ICJ mengemukakan langkah-langkah sementara bagi melindungi rakyat Palestin daripada bahaya lebih dahsyat di bawah Konvensyen Genosid.
ICJ menyiarkan dokumen mengenainya setebal 84 muka surat yang menyenaraikan langkah-langkah berkenaan secara terperinci. Menurut Pretoria, Israel perlu menggantung serta-merta operasi ketenteraannya di dalam dan ke atas Gaza.
Pretoria juga menuntut Israel menghentikan semua serangan terhadap rakyat Palestin dan membatalkan sebarang arahan yang bermatlamat untuk mengusir dan memindahkan orang awam secara paksa dari rumah mereka atau menyekat akses kepada makanan, air, bahan api, tempat tinggal, bekalan perubatan dan keperluan kemanusiaan yang lain.
Sesiapa sahaja yang didapati terlibat dalam ‘hasutan secara langsung’ membabitkan penghapuskan etnik terhadap penduduk Gaza atau terlibat konspirasi untuk melakukannya, mesti dibawa ke muka pengadilan, tegas rayuan berkenaan.
Afrika Selatan menuntut Israel mengemukakan laporan untuk mematuhi semua tuntutan tersebut dalam masa satu minggu.
Di bawah peraturan ICJ, permohonan Afrika Selatan mempunyai keutamaan berbanding semua kes lain kerana permintaannya adalah untuk langkah sementara.
Afrika Selatan sebelum ini berusaha mendakwa Israel dengan jenayah perang di hadapan ICC.
Israel bukanlah pihak yang menandatangani ICC, tetapi mahkamah itu sebelum ini mengisytiharkan bahawa ia mempunyai bidang kuasa ke atas wilayah Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.
Bagaimanapun, Afrika Selatan dan Israel adalah penandatangan Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid, yang pertama kali diterima pakai pada tahun 1948, sebagai tindak balas kepada pembunuhan besar-besaran Nazi terhadap orang Yahudi semasa Perang Dunia Kedua. – AGENSI