PETALING JAYA – Pelawak yang juga anggota kumpulan Senario, Hamdan Ramli terpaksa ditidurkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor selepas disahkan mengalami jangkitan kuman dalam darah.
Menurut anak bongsu Hamdan, Nur Natasya Umairah, 20, pada awalnya, bapanya hanya mengalami cirit-birit dipercayai akibat keracunan makanan selepas pulang dari makan malam semalam sebelum dibawa ke hospital pagi tadi.
“Ayah mengalami cirit-birit sejak semalam dan berlarutan sehingga hari ini sebelum kami bawanya ke hospital sekitar pukul 11 pagi.
“Tiba-tiba ayah sukar untuk bernafas. Selepas pemeriksaan lanjut, doktor maklumkan dia perlu ditidurkan kerana jangkitan kuman dalam darah agak tinggi.
“Kalau normal, bacaan hanya bawah 10 tetapi hasil pemeriksaan, bacaan ayah ialah 32, sangat tinggi,” katanya kepada Kosmo! Online dalam nada sebak.
Meskipun sedih melihat keadaan bapanya, Natasya bagaimanapun berasa sedikit lega apabila doktor memaklumkan Hamdan kini dalam keadaan stabil namun masih ditidurkan.
“Kuman dalam darah tinggi, kemudian doktor maklumkan jantungnya lemah dan paru-paru juga berair.
“Setakat pukul 7 malam tadi, doktor maklumkan keadaan ayah stabil tetapi masih belum tahu lagi berapa lama perlu ditidurkan.
“Sekarang, kami sekeluarga ada dengan ayah di hospital dan akan menjaganya secara bergilir-gilir,” ujarnya.
Katanya lagi, sebelum Hamdan ditidurkan, mereka dibenarkan untuk berjumpa dan membuat panggilan video dengan keluarga.
Ujar Natasya, Hamdan atau nama sebenar, Ahmad Hamdan Mohamed Ramli sepatutnya menjayakan acara Wonderful Night with Senariounion di Johor Bahru malam ini.
“Sebelum ayah ditidurkan, kami sekeluarga dibenarkan untuk jumpa. Saya bisik padanya dan yakin semangatnya kuat untuk sembuh.
“Saya mohon pada seluruh rakyat Malaysia agar mendoakan kesihatan bapa saya. Doakan dia kuat dan sembuh daripada sebarang penyakit.
“Anggota Senario lain juga turut mendoakan dan berjanji akan ke hospital selepas selesai persembahan,” kongsinya lagi. – KOSMO! ONLINE