fbpx

Ekonomi stabil harapan tinggi rakyat tahun 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELUANG pekerjaan pastinya akan bertambah sekiranya keadaan ekonomi negara terus berkembang dengan sempurna. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Kestabilan ekonomi, peluang pekerjaan yang lebih meluas, selain keharmonian dan perpaduan pelbagai kaum di negara ini antara harapan disua­rakan rakyat dalam menempuh tahun baharu 2024.

Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata rakyat mahukan yang terbaik buat negara lebih-lebih lagi pelbagai cabaran hidup telah ditempuh sepanjang tahun 2023, sekali gus berharap dapat menggapai impian yang disasarkan.

Eksekutif teknologi maklumat, Ahmad Nabil Ismail, 28, berkata, dia berharap negara akan terus kukuh dan stabil dari segi ekonomi yang seterusnya memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

“Saya berharap harga akan kembali normal termasuk harga mampu milik barang keperluan selain kestabilan nilai ringgit. Saya juga mengharapkan tiada lagi kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Pada masa sama, saya juga berharap harga rumah lebih stabil supaya golongan muda mampu memiliki kediaman sendiri. Ini kerana, pada masa ini, saya dan isteri terpaksa melupakan hasrat untuk memiliki rumah sendiri kerana harganya terlampau tinggi.

“Selain itu, saya turut mengharapkan agar keamanan dan ke­selamatan rakyat sentiasa terjaga,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Graduan kolej swasta, Nur Najihah Umar Bakri, 19, pula berharap ekonomi negara akan terus bertambah baik bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, terutama kepada graduan yang sedang mencari kerja.

“Saya baru tamat belajar pe­ringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang Pengurusan Pejabat. Pada masa ini, saya telah mendapat pekerjaan di sektor swasta, tetapi ada lagi rakan-rakan belum mendapat pekerjaan.

“Bukan sahaja rakan saya, bahkan ramai lagi graduan keluaran universiti dan kolej di seluruh negara yang sedang mencari pekerjaan. Justeru, saya mengharapkan ekonomi terus bertambah baik dalam memastikan peluang kerjaya kepada golongan seperti kami,” katanya.

Ujarnya, selain sektor swasta, dia turut berharap peluang pekerjaan yang lebih banyak di sektor awam.

Dalam pada itu, guru prasekolah, Muhammad Jaafar, 35, berkata, dia berharap keharmonian kaum dan perpaduan sesama rakyat terus dikekalkan kerana ia antara elemen penting bagi memastikan kestabilan negara terus diperkukuhkan pada tahun-tahun mendatang.

Katanya, Malaysia beruntung dan terkenal dengan kepelba­gaian kaum dan dengan ini boleh melahirkan semangat perpa­duan, selain berkongsi pelbagai budaya dan adat resam.

“Seharusnya kita meraikan kepelbagaian ini dan tunjukkan kepada dunia Malaysia menjadi contoh kepada negara lain. Elakkan membuat pelbagai andaian dan mantapkan beberapa aktiviti melibatkan semua kaum.

“Selain itu, sering paparkan di platform media sosial tentang kepentingan menjaga perpaduan kaum, ketengahkan kejayaan setiap kaum tanpa ada prejudis.

“Jangan biarkan ‘kuman perpecahan’ meruntuhkan ­kesepaduan yang telah dibina selama ini. Subur dan perkukuh­kanlah ia dengan persefahaman dan kerjasama kerana itulah kuncinya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI