KLANG – Seorang ejen hartanah cedera apabila disamun dua penjenayah bersenjatakan parang dan kayu besbol di laluan Persiaran Pegaga di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang, mangsa berusia 40 tahun itu patah tulang jari kiri dan calar di lengan selain kerugian RM6,000 termasuk selepas komputer riba dilarikan penyamun tersebut.
Insiden samun itu turut tular di media sosial menerusi 56 saat memaparkan kedua-dua suspek berpakaian gelap melakukan aksinya ketika jalan sesak di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, siasatan mendapati sebelum kejadian mangsa telah mengeluarkan sejumlah wang tunai dari mesin pengeluaran automatik (ATM) dari sebuah bank di Jalan Meru di sini.
Katanya, setelah itu mangsa yang menaiki kereta jenis Mercedes menghala ke Bukit Tinggi untuk berjumpa rakannya.
“Semasa memberhentikan kereta di Persiaran Pegaga, telah datang dua lelaki tidak dikenali bersenjatakan parang dan kayu besbol memecahkan cermin pintu kereta sebelah pemandu dan penumpang hadapan.
“Mangsa yang ketakutan telah menyerahkan beg komputer riba selepas dipaksa suspek tersebut sebelum penjenayah berkenaan melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Toyota Yaris berwarna silver,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau menambah, mangsa yang cedera kemudiannya telah dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di sini.
Kamalariffin menegaskan, usaha mengesan suspek yang terlibat sedang giat dilaksanakan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah ini ditalian 03-33762222 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE