PETALING JAYA – Hujan dan ribut petir akan melanda kebanyakan negeri di seluruh negara mulai hari ini hingga Selasa.
Ia berdasarkan jadual ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan dikongsi secara rasmi menerusi aplikasi X oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hari ini.
Mengikut ramalan cuaca, pagi ini hujan akan berlaku di satu atau dua tempat di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor, dan beberapa kawasan di Sarawak.
“Manakala pada sebelah petang pula, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu, dan Johor diramalkan mengalami ribut petir di beberapa tempat,” ujarnya.
Selain itu, ribut petir juga dijangka berlaku di satu atau dua tempat di Sabah dan Sarawak.
“Malam ini hujan di satu dua tempat diramal melanda Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak, dan Sabah,” katanya.
Bagi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Sarawak, hujan di satu atau dua tempat dijangka berlaku pagi esok.
Pada sebelah petang dan malam esok pula , seluruh negara diramalkan akan mengalami ribut petir di satu atau dua tempat, kecuali Perlis.
Pada pagi Selasa, negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Sarawak dijangka mengalami hujan di satu atau dua tempat.
“Sementara itu, pada sebelah petang, ribut petir diramalkan melanda satu atau dua tempat di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak, dan Sabah, kecuali Perlis,” jelasnya.
Pada malam Selasa juga, seluruh negara diramalkan hujan di satu atau dua tempat, kecuali di Perlis.
Ujarnya, orang awam juga dinasihatkan untuk sentiasa merujuk www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – KOSMO! ONLINE