KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun kepada 9,387 orang berbanding 10,275 orang pada petang semalam dengan dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup hari ini.
Sekretariat Pengurusan Bencana Kelantan dalam satu kenyataan berkata, setakat pukul 8 pagi tadi, jumlah itu mencatatkan pengurangan sebanyak 888 orang.
Menurutnya, dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang ditutup masing-masing di Pasir Mas dan Jeli.
“Kesemua mangsa banjir yang terlibat itu terdiri daripada 2,903 keluarga yang ditempatkan di 27 PPS.
“Pasir Mas kekal mencatatkan bilangan mangsa yang paling ramai dengan 6,347 orang, Tumpat (2,545), Jeli (428) dan Kuala Krai (67),” ujarnya.
Menurut kenyataan itu, Sungai Golok di Rantau Panjang masih mencatatkan paras bahaya.
Katanya, Sungai Pergau di Kampung Lawar, Jeli, Sungai Kelantan di Tangga Krai (Kuala Krai) dan Kusial (Tanah Merah) termasuk Sungai Golok (Kuala Jambu, Tumpat) dan Jenob (Pasir Mas) melepasi bacaan amaran. – KOSMO! ONLINE