1- Agong pikat Borneo
Selepas menelusuri perjalanan sepanjang 2,154 kilometer, pada 12 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan keluarga mengakhiri Kembara Kenali Borneo selama 11 hari di Telok Melano, Lundu, Sarawak.
Kembara Kenali Borneo itu telah dimulakan dari Tawau, Sabah pada 3 September lalu dengan baginda memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda sambil ditemani Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Kembara itu yang menelusuri lebuh raya Pan Borneo memberi peluang kepada rakyat Sabah dan Sarawak mendekati Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta anakanda baginda.
Keramahan baginda dan keluarga turut memilkat hati warga Borneo yang teruja apabila dapat melihat sendiri keluarga diraja itu secara dekat.
Jelajah Borneo itu nyata telah meninggalkan 1,001 kenangan manis buat rakyat Sabah dan Sarawak. Video-video di TikTok berkaitan kembara itu menjadi FYP dan pelbagai peristiwa lucu dirakamkan sepanjang minggu penuh bermakna tersebut.
Baginda pada 23 September lalu bertitah bahawa pengalaman merentasi Borneo itu akan dibukukan dan divideokan buat tatapan baginda sekeluarga.
Baginda turut menzahirkan rasa rindu terhadap rakyat Sabah dan Sarawak.
2- Tunku Azizah perkenan jadikan Missclyen anak angkat
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menjadikan kanak-kanak istimewa, Missclyen Roland, 2, yang menghidap sindrom Werewolf sebagai anak angkat baginda.
Berita itu dikongsikan ibu kanak-kanak terbabit, Theresa Anak Gunting berhubung surat rasmi diterima dari Istana Negara mengenai hasrat Raja Permaisuri Agong bertarikh 10 Oktober lalu.
Dalam surat itu, baginda bertitah akan memberikan perbelanjaan untuk persekolahan Missclyen selain rawatan penyakit kanak-kanak perempuan itu.
3- Tengku Hassanal, Tengku Ahmad jadi pujaan orang Sarawak
KEHADIRAN Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan adindanya, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dalam Kembara Kenali Borneo di Sarawak pada 10 September lalu memikat hati rakyat setempat.
Perkongsian daripada beberapa pengguna TikTok menunjukkan Tengku Hassanal dilihat beramah mesra dengan orang ramai yang mengerumuni kenderaan yang dinaiki baginda.
“Sudah makan semua? Best Sarawak, sangat menyeronokkan dan sangat baik,” kata baginda yang juga berseloroh sambil memperkenalkan adindanya, Tengku Ahmad.
Kehadiran kedua-dua mereka ternyata mendapat perhatian ramai dan perkongsian tersebut juga dihujani komen-komen yang terpukau dengan ketampanan anak raja itu.
“Kami di Sarawak memang best Tengku. Boleh dah cari jodoh nanti anak ‘mix’ orang Borneo,” tulis seorang pengguna.
4- Sultan Johor dipilih Agong ke-17
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-17, sebagaimana yang dilaporkan pada 27 Oktober lalu.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, pelantikan itu berkuat kuasa 31 Januari 2024.
“Menjunjung titah, saya memaklumkan, Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Yang Ke-263 (Khas) berlangsung di Istana Negara pada 27 Oktober 2023 bersetuju mengisytiharkan, Sultan lbrahim, Sultan Johor dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVll, selama tempoh lima tahun mulai dari tarikh 31 Januari 2024,” katanya.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dipilih sebagai Timbalan YDPA.
5- Putera Mateen umum bakal kahwin, ramai gadis patah hati
RAMAI gadis patah hati apabila diberitakan pada 8 Oktober lalu bahawa anakanda Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah iaitu Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah bakal bernikah dengan wanita pilihannya yang dikenali sebagai Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah Adam pada 11 Januari tahun hadapan.
Istiadat Perkahwinan Diraja itu bakal berlangsung selama lapan hari dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari 2024 dan diikuti dengan Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga pada 8 Januari.
Putera Mateen yang memiliki wajah tampan sememangnya menjadi kegilaan para wanita bukan hanya di Brunei tetapi juga di seluruh dunia. Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan istiadat tersebut bakal menjadi ‘wedding of the year’.