fbpx

Sejuta rakyat disasar sertai himpunan ‘Kami Semua Palestin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Azmi (duduk barisan kedua kanan) bersama pemimpin lain yang hadir pada sidang akhbar tersebut di Shah Alam. Foto Syakir Radin/ KOSMO!

SHAH ALAM – Perhimpunan berskala besar menyasarkan sejuta rakyat negara ini bakal diadakan di Kuala Lumpur sebagai solidariti terhadap rakyat Palestin pada 24 Februari tahun depan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, program dikenali Himpunan Sejuta Rakyat Untuk Palestin itu bertujuan menyatakan pendirian rakyat Malaysia terhadap jenayah kemanusiaan dan perang yang dilakukan oleh Israel ke atas Palestin dibawah sokongan dan biaya Amerika Syarikat (AS).

Katanya, perhimpunan ini adalah refleksi dari sentimen rakyat seluruh dunia yang bangkit menentang terorisme Israel.

“Desakan rakyat adalah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak serta-merta untuk hentikan perang dan memberi akses kepadan bantuan kemanusiaan disampaikan kepada mangsa keganasan Israel keatas warga Gaza

“Palestin di Gaza kini menjadi tunjuk arah moral (kompas moral) dunia untuk mengukur tahap kemanusiaan masyarakat antarabangsa. Jika apa yang berlaku sekarang di Gaza tidak menggugah murani, maka tahap kemanusiaan boleh dianggap telah lenyap,” katanya pada sidang akhbar perhimpunan tersebut hari ini.

Beliau yang merupakan koordinator perhimpunan memberitahu, pihaknya turut menyasarkan 1,000 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) akan mendaftar dalam gabungan Perhimpunan Sejuta Rakyat.

Tegasnya, pihaknya akan memohon kerjasama dari pihak berkuasa agar membantu kami melaksanakan perhimpunan ini dengan aman dan lancar.

“Kami mempersoalkan apa jadi kepada resolusi gencatan senjata kemanusiaan yang dilulus di Majlis Keselamatan PBB beberapa hari yang lalu? Israel terus menyerang dan membunuh lebih 200 warga Gaza hatta di perayaan Hari Natal.

“Perdana Menteri Israel, Benjamin Natanyahu tahu AS tidak akan menghalang Israel meneruskan jenayah Genosid di Gaza. Malah AS akan terus memberi perlindungan politik kepada Israel disamping membekalkan senjata tercanggih untuk Israel ‘menyempurnakan’ matlamatnya melenyapkan Gaza dan warganya dari peta dunia,” tegasnya.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Azmi, pihaknya akan menggunakan slogan “Kami Semua Palestin” yang akan menjadi seruan kepada seluruh rakyat untuk bersama dalam perhimpunan ini.

Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang juga jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) memaklumkan Piket Kepung demi Palestin berhampiran Kedutaan AS di Jalan Tun Razak disifatkan berjaya dalam memberikan tekanan dengan kemuncak adalah malam esok.

“Kita akan melakukan ‘countdown’ tahun baru bermula pukul 9 malam esok dengan menyasarkan 1,000 peserta dalam terus menunjukkan solidariti dan pendirian tegas kita terhadap isu Palestin ini.

“Ini secara tidak langsung bagi menggantikan kepada aktiviti lazim tahun baru dengan pertunjukkan bunga api,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI