MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag melaungkan keyakinan Marcus Rashford hanya menanti masa untuk menamatkan penantiannya menjaringkan gol selepas gagal melakukanya dalam enam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).
Rashford, 26, baru meledak dua gol dalam 18 aksi EPL musim ini dengan kali terakhir sewaktu menewaskan Everton 3-0 di Goodison Park pada 26 November lalu.
Namun, aksi terakhirnya ketika menentang Aston Villa menyaksikan bintang England itu berjaya mencipta satu gerakan jaringan, sekali gus memberi petanda dia semakin hampir mendapatkan sentuhan terbaiknya tidak lama lagi.
Tidak mustahil Rashford berpeluang melakukannya apabila The Red Devils turun menentang Nottingham Forest di City Ground awal pagi esok.
“Dia bermain dengan sangat baik, tetapi nasibnya tidak baik kerana mengalami demam sebelum ini. Ada ketikanya juga kami terpaksa menggunakan (Alejandro) Garnacho di sebelah kiri dan dia mengambil kesempatan itu dengan sangat bagus.
“Namun, Rashford telah membuktikan dia bukan sahaja mampu menjadi ancaman utama, tetapi turut berjaya mencipta gerakan gol kepada rakan sepasukan lain. Saya percaya situasi ini amat menguntungkan pasukan.
“Mungkin saya akan letakkan Garnacho di sebelah kiri dan Rashford kanan. Saya tahu Rashford juga berkeupayaan untuk meledak gol apabila beraksi di posisi kanan,” kata Ten Hag.
Biarpun Rashford dikeluarkan pada minit ke-80 ketika menentang Villa, tetapi ia disebabkan kepenatan, bukannya masalah kecederaan yang boleh menjejaskan peluang turun menentang Forest.
Bagaimanapun, United tidak boleh memandang rendah kemampuan Forest yang mencipta kejutan menewaskan Newcastle United 3-1 menerusi ledakan hatrik penyerang New Zealand, Chris Wood. – AGENSI