JAKARTA – Seorang peragut di Bogor, Indonesia ditangkap selepas menyerang seorang pejalan kaki dengan melempar serbuk cili pada wajah mangsa, lapor laman berita Suara.com hari ini.
Kejadian berlaku ketika seorang wanita yang dikenali sebagai SKI, pulang dari kerja dan menuju ke rumahnya kelmarin.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Kota Bogor, Luthfi Olot berkata, mangsa diserang suspek yang melempar serbuk cili ketika dia berjalan pulang.
“Suspek kemudian merampas sebuah telefon bimbit Vivo Y1S berwarna biru daripada tangan mangsa. Mangsa sempat melawan dengan menarik baju suspek,” katanya.
Suspek kemudian memukul pipi kiri mangsa. Mangsa membalas pukulan dengan menendang suspek ke arah sebatang parit berdekatan.
Selepas melarikan diri, suspek berjaya diberkas penduduk setempat. – AGENSI