TUMPAT – Seorang Penolong Pegawai Tadbir di Politeknik Jeli yang juga merupakan orang kelainan upaya (OKU) fizikal bersyukur apabila isteri yang baru dikenali selama tiga bulan menerima kekurangan dirinya.
Nik Mahmood Nik Abd. Majid, 54, yang mengalami kecacatan pada bahagian kakinya sejak lahir lebih gemar bergerak sendiri menggunakan tongkat tanpa kerusi roda.
Menurutnya, dia tidak menyangka dapat bertemu jodoh dengan Harinah Ibrahim, 42, ketika sudah menginjak ke usia 50-an selepas diperkenalkan oleh rakan sekerjanya pada September lalu.
Nik Mahmood memberitahu, perkahwinannya berlangsung pada 24 Disember lalu di rumah isteri di Kampung Ayer Lanas, Jeli sebelum majlis bertandang di rumahnya di Kampung Bunut Sarang Burung di sini kelmarin.
Menurutnya, dia yang bertugas di Jeli perlu berulang-alik ke tempat kerja sejauh 180 kilometer setiap hari dari Tumpat dengan memandu kereta.
Katanya, meskipun berstatus OKU, dia tidak pernah menganggap kekurangan diri itu sebagai penghalang untuk membuat atau melaksanakan tugas seperti orang lain.
“Saya sudah 20 tahun berulang-alik ke tempat kerja. Selepas ini, kehidupan saya sudah berbeza apabila sudah mendirikan rumah tangga,” katanya.
Sementara itu, Hanirah yang bekerja sebagai pembantu di sebuah klinik pergigian di Jeli berkata, dia bersyukur dan menerima seadanya keadaan fizikal suaminya. – KOSMO! ONLINE