BALIK PULAU – Lebih 1,000 penduduk Teluk Kumbar di sini mengadakan demonstrasi aman bagi membantah serta mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk segera membatalkan projek pembinaan asrama pekerja warga asing di kawasan itu.
Demonstrasi aman itu turut disertai pemimpin politik setempat tanpa mengira parti seperti Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau, Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Shah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas yang juga Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang, Azrul Mahathir Aziz dan lain-lain pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menerusi demonstrasi itu, penduduk dan pemimpin politik setempat sebulat suara membantah projek pembinaan asrama warga asing itu kerana ia dikhuatiri akan mengancam kehidupan masyarakat tempatan.
Selain itu, satu resolusi bantahan pembinaan asrama itu turut diserahkan kepada Azrul Mahathir oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing di Teluk Kumbar, Prof. Dr Muhamad Idiris Saleh untuk dikemukakan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Muhamad Idiris berkata, hampir keseluruhan penduduk tempatan di Teluk Kumbar membantah pembinaan asrama pekerja asing di kawasan tersebut kerana bimbang dengan pelbagai masalah yang akan timbul pada masa depan.
Sebelum ini, kerajaan negeri Pulau Pinang dilaporkan telah meluluskan dua permohonan bagi pembinaan asrama pekerja di kawasan Teluk Kumbar,
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye berkata, berdasarkan kelulusan yang telah diperakukan di Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang, anggaran sebanyak 32,680 orang pekerja warga asing akan ditempatkan di kawasan Teluk Kumbar. – KOSMO! ONLINE