BANDAR GAZA – Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran bahawa 40 peratus penduduk Semenanjung Gaza berisiko mengalami kebuluran dahsyat selepas konvoi lori bantuan yang sangat diperlukan, dilarang memasuki wilayah Palestin itu.
Saluran berita Quds News melaporkan, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut mengulangi gesaan gencatan senjata kemanusiaan ketika serangan tanpa henti Rejim Zionis berterusan selama lebih 83 hari.
“Setiap hari adalah perjuangan untuk terus hidup, mencari makanan dan air. Realitinya, kita memerlukan lebih banyak bantuan. Satu-satunya harapan yang tinggal adalah gencatan senjata kemanusiaan,” kata pengarah hal ehwal UNRWA di Gaza, Thomas White di laman X.
Pada minggu lepas, Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi untuk menghantar lebih banyak bantuan ke Sememanjung Gaza selepas penangguhan selama beberapa hari, namun beberapa organisasi bantuan dan hak asasi manusia menyifatkan resolusi itu ‘tidak mencukupi’ dan ‘hampir tidak bermakna’.
Amaran keras UNRWA itu dikeluarkan ketika Israel terus membedil lokasi perlindungan orang awam Palestin yang memburukkan lagi krisis kemanusiaan di rantau itu. Serangan udara dan artileri serta serbuan dari rumah ke rumah juga dilaporkan semakin sengit di bandar Khan Younis.
Lebih 80 peratus daripada 2.4 juta penduduk Semenanjung Gaza diusir dari rumah mereka dan ramai pelarian kini tinggal di tempat perlindungan sempit atau khemah kecil di selatan Gaza khususnya sekitar bandar Rafah.
Menggariskan perspektif lebih luas, laporan Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang dikeluarkan pada 21 Disember lalu memperincikan keadaan Gaza yang digempur menerusi pengeboman dan operasi darat Israel.
Kempen genosid Israel mencapai tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila 90 peratus atau kira-kira 2.08 juta penduduk Gaza mengalami ketidakjaminan makanan serius antara 24 November hingga 7 Disember lalu.
Pengarah Serantau Oxfam di Asia Barat dan Afrika Utara, Sally Abi Khalil mengutuk tindakan Israel menggunakan makanan dan air sebagai senjata untuk memerangi orang awam di Gaza.
“Sungguh mengerikan dan hampir tidak dapat dibayangkan bahawa pada 2023, makanan dan air digunakan sebagai senjata terhadap wanita, kanak-kanak, bayi, warga tua dan orang sakit iaitu mereka yang paling terdedah,” katanya dalam satu kenyataan.
Kemas kini Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan angka kematian di wilayah berkenaan melebihi 21,320 orang termasuk 6,300 wanita dan 8,800 kanak-kanak pada minggu ini.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai risiko kelaparan akut di Semenanjung Gaza.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menyeru masyarakat antarabangsa mengambil langkah segera untuk mengurangkan bahaya yang dihadapi penduduk Gaza termasuk membantu orang yang mengalami kecederaan parah, kelaparan teruk dan berisiko menghidap penyakit teruk.
Kakitangan WHO melapokan bahawa penduduk Gaza yang kebuluran sekali lagi menahan konvoi mereka dengan harapan untuk mencari makanan.
“Keupayaan WHO untuk membekalkan ubat-ubatan dan bahan api ke hospital semakin dikekang oleh pelarian Palestin yang kelaparan dalam perjalanan menuju dan pulang dari hospital,” kata WHO dalam satu kenyataan. – AGENSI