fbpx

Jangan biar isu perkauman jadi barah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini, sewaktu dalam perjalanan pulang selepas menghantar ahli keluarga ke rumah adik, penulis terbabit dalam kemalangan.

Seorang lelaki berbangsa India secara meluru melintas jalan menyebabkan penulis terpaksa menekan brek kecemasan sebelum dilanggar kenderaan lain dari belakang. Malangnya, lelaki yang melintas itu hanya berlalu pergi begitu sahaja.

Pemandu kereta belakang adalah lelaki berketurunan mamak. Meskipun terkejut namun kami masih tenang berta­nyakan tentang keadaan diri dan kenderaan masing-masing.

Kami kemudian membuat laporan polis dan menguruskan kenderaan yang rosak bersama-sama. Dalam situasi ini, bukan kisah kemalangan yang mahu di sampaikan, tetapi rukun perpa­duan dan budi bahasa menjadikan situasi cemas itu lebih mudah ditangani.

Kejadian itu juga menemukan penulis dengan seorang insan yang kini menjadi antara kawan baik dan kami sentiasa berhubung antara satu sama lain.

Bercakap tentang perpaduan dan budi bahasa, elemen itu berkait rapat antara satu sama lain. Uniknya Malaysia adalah nilai perpaduan dan adat resam yang kaya dengan nilai agama dan budi bahasa, namun kini dilihat sema­kin pudar.

Sejak media sosial menjadi wadah visual masyarakat, ada juga pihak yang cuba menyuntik sentimen perbalahan yang menyentuh isu perkauman.
Hasilnya wujudlah ‘perang’ komen antara netizen yang bersahut-sahut dengan hujahan masing-masing, malah ada juga yang memutarbelitkan ke­nyataan untuk memanaskan lagi keadaan.

Dalam konteks yang semakin menjadi barah dalam masyarakat, apakah kaedah yang terbaik yang boleh dilakukan dari pelbagai peringkat untuk mena­ngani perkara tersebut?

Merujuk kepada saranan Pe­nsyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr. Ahmad Nasir Mohd. Yusoff, masyarakat seharusnya kembali kepada nilai-nilai agama dalam mendidik semula nilai perpaduan serta jati diri.

Menurut beliau, sebagai contoh dalam agama Islam, kehidupan dan ajaran Nabi Muhammad SAW merupakan model yang baik dalam memperkukuh jati diri, mengajar nilai moral dan etika, memupuk kesedaran dan perpaduan umat Islam serta meraikan pelbagai warisan budaya.

“Rasulullah SAW sebagai seorang ahli politik ulung telah memainkan peranan penting dalam membentuk peradaban Islam inklusif dan bertumpu pada prinsip keadilan dalam masyarakat berbilang etnik.

“Dalam kepemimpinan ba­ginda, kita dapat menemui contoh bagaimana masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kelompok etnik dan budaya boleh dibina dengan cemerlang,” kata beliau.

Tambah Ahmad Nasir, pe­ranan baginda yang serba boleh meliputi tanggungjawab sebagai seorang ahli politik berjaya membina peradaban dalam masyarakat berbagai etnik.

Bagi solusi yang dimaksudkan, ia bukanlah hanya merujuk kepada tindakan pemimpin, tetapi juga setiap lapisan se­perti ibu bapa, guru dan juga pihak-pihak yang terlibat dalam mem­pengaruhi kehidupan masyarakat dalam membesar.

Sebelum nilai perpaduan dan budi bahasa hilang daripada dalam diri masyarakat, oleh itu ayuhlah kita mencari langkah terbaik untuk menanganinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI