KOTA BHARU – Situasi banjir di Kelantan semakin baik apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 10,275 berbanding 15,195 orang pada pagi tadi.
Sekretariat Pengurusan Bencana Kelantan dalam satu kenyataan berkata, setakat pukul 4 petang ini, jumlah itu mencatatkan pengurangan sebanyak 4,920 orang.
Menurutnya, kesemua mangsa banjir yang terlibat itu terdiri daripada 3,174 keluarga yang ditempatkan di 29 PPS.
“Empat daerah masih terjejas banjir iaitu Pasir Mas, Tumpat, Jeli dan Tahan Merah.
“Pasir Mas kekal mencatatkan bilangan mangsa yang paling ramai dengan 6,733 orang, Tumpat (3,007), Jeli (468) dan Kuala Krai (67),” ujarnya.
Menurut kenyataan itu, Sungai Golok di Rantau Panjang masih mencatatkan paras bahaya meskipun menunjukkan trend menurun.
Katanya, Sungai Pergau di Kampung Lawar, Jeli, Sungai Kelantan di Tangga Krai (Kuala Krai) dan Kusial (Tanah Merah) termasuk Sungai Golok (Kuala Jambu, Tumpat) melepasi bacaan amaran. – KOSMO! ONLINE