fbpx

K2

Dituduh mandul diceraikan, kahwin lain dapat anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seperti pasangan lain yang berkahwin, Zura juga mengimpikan untuk mempunyai anak sendiri sebagai penyeri rumah tangga. – Gambar hiasan

SEPERTI wanita lain, Zura (bukan nama sebenar) sebolehnya ingin menimang cahaya mata dengan segera setelah mendirikan rumah tangga bersama lelaki dicintainya.

Namun begitu, nasibnya tidak baik kerana setelah lebih tujuh tahun berkahwin dia masih belum diberikan rezeki untuk mengandung.

“Saya dan suami sememangnya menginginkan zuriat sebagai penyeri dalam rumah tangga kami.

“Namun, ini semuanya aturan Allah SWT dan saya redha jika belum diizinkan oleh-Nya,” jelas wanita yang kini berusia pertengahan 30-an.

Dalam pada itu, Zura juga menjelaskan, suaminya memahami situasi tersebut dan sentiasa bersabar menanti cahaya mata mereka.

Namun begitu, Zura tidak selesa dengan keluarga mentuanya yang sering bertanyakan soalan berkaitan anak.

Dia sendiri tidak mempunyai jawapan kepada persoalan itu.

“Pada awal-awal perkahwinan, apabila sering diajukan soalan begitu, saya tiada masalah.

“Namun, setelah beberapa tahun, mereka masih bertanyakan soalan sama.

“Kadangkala ia membuatkan saya rimas,” jelas Zura yang berasal dari sebuah negeri di selatan tanah air.

Mengulas lanjut, Zura berkata, ibu mentuanya amat berharap, dia dapat melahirkan zuriat.

Menurut Zura, suaminya merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga mereka.

“Ibu mentua saya ini baik, tetapi mulutnya agak ‘laser’ dan langsung tidak memikirkan perasaan saya.

“Dia sering bertanyakan hal tersebut dan siap meminta saya pergi berubat bagi membolehkan saya mengandung.

“Disebabkan hal ini juga, hubungan saya bersama ibu mentua menjadi semakin renggang,” bicaranya.

Tambahnya, dia sangat terasa hati apabila ibu mentuanya itu seolah-olah memberi restu kepada suami Zura untuk berkahwin lagi satu.

Zura menjelaskan, sebelum itu, dia ada mengajak suaminya untuk melakukan pemeriksaan tahap kesuburan.

Bagaimanapun, suaminya tidak mahu melakukan ujian itu. Pada masa sama, Zura melakukan ujian berkenaan secara bersendirian dalam diam.

Setelah pemeriksaan, keputusan menunjukkan bahawa Zura tidak ada sebarang masalah kesuburan.

Sementara itu, Zura menjelaskan, keluarga mentuanya sering bergosip tentang dirinya.

Pernah satu ketika, dia mendengar perbualan ibu mentuanya bersama adik ipar dan biras yang lain mengenai dirinya.

“Pada ketika itu, kami sekeluarga berkumpul dan mereka sedang berada di dapur.

“Ketika saya hendak ke dapur, saya dapat mendengar mereka berbual antara satu sama lain.

“Ada antara mereka yang mengatakan saya ini ‘mandul’, sebab itu tidak boleh mengandung,” katanya.

Setelah mendengar perbualan itu, Zura meminta izin suaminya untuk pulang ke rumah bersendirian tanpa menceritakan apa yang didengari.

Dia hanya menyatakan bahawa dirinya tidak sihat dan ingin pulang berehat di rumah.

Sejak peristiwa itu, dia jarang pergi ke rumah keluarga mentuanya.

Selepas beberapa ketika, suaminya mengajak Zura untuk berbincang dari hati ke hati antara mereka berdua.

“Dalam perbincangan itu, suami saya berterus terang kepada saya, dia mahukan anak sendiri.

“Dia meminta izin saya untuk berkahwin lain dan berpoligami untuk mendapatkan zuriat.

“Saya amat terkejut kerana sebelum ini, suami saya langsung tidak pernah menyatakan hasrat berkahwin lain,” jelasnya.

Ketika itu juga, Zura berasa amat kecewa selepas mengetahui suaminya ada menjalinkan hubungan dengan wanita lain di belakangnya.

“Akhirnya, suami mengaku bahawa dia akan berkahwin dengan rakan sekerja kakaknya yang diperkenalkan oleh keluarga,” ujarnya.

Sebagai isteri, Zura amat kecewa, namun tetap memberi keizinan berkahwin memandangkan suaminya amat mengharapkan zuriat sendiri.

Namun, setelah suaminya berkahwin lain, Zura mendapati dia seakan diabaikan.

Setelah berfikir panjang, Zura mengambil keputusan untuk dilepaskan.

“Setelah hampir lapan bulan suami saya berkahwin lain, saya minta dilepaskan.

“Suami saya bersetuju untuk melepaskan saya dan keluarganya langsung tidak menghalang,” jelasnya.

Akhirnya, mereka sah berpisah di sebuah mahkamah syariah.

Selepas berpisah dengan suaminya, Zura mengambil keputusan untuk menukar tempat kerja dan pulang ke kampung halamannya.

Setelah setahun berpisah, dia bertemu jodoh dengan lelaki yang lebih muda daripadanya selepas dikenalkan oleh seorang rakan.

“Setelah empat bulan berkahwin, saya disahkan mengandung dan saya amat gembira.

“Pada masa sama, saya mendapat tahu bahawa bekas suami saya masih belum dikurniakan anak dengan isteri baharunya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI