fbpx

Darurat banjir di Pattani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BANJIR menjejaskan ekonomi dengan teruk di Pattani. - Foto Stesen Radio Kampus PSU Pattani/Facebook

BANGKOK  –  Darurat banjir berkuat kuasa di wilayah Pattani, selatan Thailand semalam apabila paras airnya terus meningkat, mengakibatkan ekonomi tempatan terjejas teruk, lapor portal berita Thaiger.

Limpahan air Sungai Sai Buri dan Sungai Pattani menyebabkan banjir besar di kawasan bandar  Pattani.

Paras air di perbandaran Muang Pattani meningkat dengan cepat,  manakala banyak premis perniagaan yang terletak di Jalan Phiphit, Udom Withi, Kalapho, Chabang Tiko dan Yaring telah ditenggelami air.

Penduduk tempatan melaporkan bahawa paras air semasa di Sungai Sai Buri adalah yang  tertinggi pernah mereka lihat dalam tempoh 50 tahun.

Bencana itu sebahagian besarnya disebabkan oleh air banjir dari Narathiwat yang mengalir melalui Pattani.

Dalam pada itu, di daerah Muang, enam mukim, 14 buah kampung dan lebih 1,000 isi rumah terjejas akibat banjir sekali gus memberi kesan kepada lebih 6,000 penduduk, lapor akhbar Bangkok Post.

Pattani, Narathiwat dan Yala adalah antara wilayah selatan paling teruk dilanda banjir pada tahun ini. Banjir kali ini juga dianggap antara paling buruk dalam tempoh beberapa dekad.

Menurut Jabatan Pencegahan dan Tebatan Bencana, banjir menjejaskan sejumlah 93,220 keluarga di 25 daerah di tiga wilayah selatan berkenaan.

Tujuh orang terkorban dan seorang lagi dilaporkan hilang akibat banjir di Narathiwat. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI