fbpx

K2

Cipta ketenangan melalui Japandi, minimalis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEDIAMAN milik Madsmona tampil cukup kemas dan elegan menerusi gabungan konsep Muji serta Scandinavian.

SEBELUM ini, konsep kediaman Scandinavian merupakan antara yang paling banyak menjadi pilihan pemilik kediaman untuk diterapkan pada rumah mereka.

Ini memandangkan konsep tersebut cukup ringkas dengan penggunaan rona putih sebagai warna utama.

Konsep atau tema Scandinavian dipelopori oleh negara-negara Scandinavia atau Nordic iaitu Sweden, Norway, Finland dan Denmark.

Tema tersebut mengetengahkan gaya ringkas, sederhana serta sesuai untuk kediaman yang aman, tenang dan kelihatan lapang.

Malah, ia membantu rumah kelihatan lebih cerah dan tampak ceria.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, gabungan konsep kediaman Jepun dipanggil Muji dengan hiasan dalaman Scandinavian yang dikenali sebagai Japandi semakin menjadi pilihan.

Estetika konsep Japandi banyak bermain dengan rona-rona natural seperti putih dan coklat, selain nampak kemas dengan penggunaan perabot minimalis.

Ternyata, Japandi telah memikat hati pasangan suami isteri, Madsmona Md. Salleh dan Wan Norul Fadly untuk memilih menerapkan konsep popular itu pada kediaman jenis semi-D milik mereka yang dihuni sejak 10 bulan lalu.

Jelas Madsmona, dia banyak mengambil inspirasi menghias kediaman yang terletak di Kajang, Selangor itu menerusi carian di internet dan aplikasi seperti Pinterest.

“Inspirasi dalam menghias kediaman ini banyak saya ambil daripada aplikasi seperti Pinterest.

“Kemudian, saya gabungkan juga contoh-contoh dalam aplikasi tersebut bersama konsep dan perabot yang saya mahukan.

SUDUT ruang tamu kediaman tampil segar dengan penggunaan warna lembut.

“Rata-rata perabot ini berkonsep minimalis,” katanya.

Hasilnya, kediaman tersebut tampak begitu mempesonakan dan luas hasil daripada gabungan rona putih bersih dengan coklat lembut.

Sudut ruang tamu kediaman tampil segar dengan penggunaan rona lembut seperti beige yang mendominasi ruang.

Sofa jenis fabrik daripada rona tanah menjadi pilihan Madsmona bagi menyerlahkan lagi elemen Japandi pada tatarias.

Ruang meja makan keluarga juga masih daripada rona serupa bagi mencipta kesenadaan.

Meja makan dan kerusi bertema Scandinavian dipadankan dengan hamparan permaidani polos daripada rona tanah.

Biarpun serba ringkas, namun ruangan tersebut tetap mempunyai estetika tersendiri.

Menjengah ke ruangan dapur pula, pemilihan warna putih bagi kabinet dan meja ‘island’ berjaya menjadikan ruang itu tampak cukup luas serta tenang.

Ujar Madsmona, ruang dapur khususnya dapur basah merupakan kawasan paling disukainya pada kediaman tersebut.

“Jika ditanya tentang ruang paling saya sukai, jawapannya adalah dapur basah. Hal ini kerana di ruangan ini, kami menempatkan kerusi rehat berkonsepkan ala-ala sebuah kafe.

“Begitu pun, ia masih lagi dalam proses renovasi dan belum siap sepenuhnya,” kongsinya.

Selain ruang dapur basah, Madsmona dan suami ketika ini masih mengusahakan beberapa lagi sudut pada kediaman itu.

Antaranya, termasuk mengecat semula bahagian luar kediaman serta menukar pintu jenis sliding door yang ada di kediaman tersebut.

Tidak lokek berkongsi, Madsmona berkata, dia dan suami menghabiskan sekitar RM300,000 bagi proses pengubahsuaian dan dekorasi untuk kediaman seluas 278.7 meter persegi itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI