fbpx

Cabut brek macam cabut nyawa sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Mat rempit zaman sekarang semakin berani mati. Jika dahulu, mat rempit hanya berani angkat tayar depan atau wheelie dan menirap atas motosikal dengan aksi ‘Superman’.

Selain itu, mereka juga sering melakukan aksi menundukkan badan dan zig-zag ketika berlumba di atas jalan raya, ditambah dengan bunyi bising ekzos di tengah-tengah malam.

Sekarang, trend mengubah suai motosikal dengan menanggalkan brek belakang motosikal semakin menjadi-jadi, seolah-olah tidak sayangkan nyawa sendiri.

Brek motosikal dicipta untuk memperlahan atau memberhentikan kenderaan. Komponen ini amat penting dalam menjamin keselamatan penunggang motosikal.

Ramai penunggang motosikal lain yang mahu menaik taraf brek mereka menggunakan model terkini dan jenama terkenal supaya memperoleh kuasa membrek yang cukup kuat.

Bagaimanapun, peliknya, ada mat rempit dalam kalangan remaja pula sengaja menanggalkan brek belakang motosikal seperti basikal lajak yang ditanggalkan brek depan dan belakang.

Kononnya dengan menanggalkan brek itu, kuasa pecutan motosikal akan menjadi lebih laju ketika berlumba dan jika berlaku kecemasan, cukup sekadar menarik brek hadapan sahaja.

Mereka berlumba bukan di litar, sebaliknya di atas jalan raya bersama pengguna lain. Andai kata tidak sempat membrek, kenderaan lain pula dirempuh.

Lebih malang apabila insan lain yang tidak bersalah menjadi mangsa korban mat rempit yang sengaja tempah maut di atas jalan.

Sabtu minggu lalu, sebanyak 83 motosikal yang tidak mempunyai brek belakang dikesan pihak polis dalam Operasi Motosikal/ Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar ibu negara.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh dilaporkan berkata, dalam operasi sebelum-sebelum ini, bagi kesalahan tiada brek belakang, hanya satu atau dua kes.

Bagaimanapun, dalam operasi baru-baru ini, terdapat peningkatan jumlah sehingga 83 kes. Ia menunjukkan trend peningkatan yang sangat membimbangkan.

Menurutnya, trend tiada brek belakang semakin berkembang di Kuala Lumpur dan ia amat berbahaya bukan sahaja kepada penunggang motosikal itu sendiri, tetapi juga pengguna lain.

Polis Kuala Lumpur juga komited untuk menangani gejala ini sehingga tiada satu motosikal pun di Kuala Lumpur bergerak tanpa brek belakang.

Diharapkan juga operasi sama melibatkan agensi penguat kuasa lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut dilakukan di seluruh negara kerana mat rempit ada di mana-mana sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI