NEW DELHI – Seorang bilionair di India sanggup menaiki kereta api awam berbanding kereta dari Mumbai ke Ulhasnagar, lapor portal berita money control semalam.
Pengasas bersama dan pengarah urusan Hiranandani Group, Niranjan Hiranandani yang berusia 73 tahun, berkongsi perjalanannya di laman Instagram, manakala videonya menjadi tular.
Hiranandani berkata, dia menaiki kereta api untuk menjimatkan masa dan mengelakkan kesesakan lalu lintas di Mumbai.
Rakaman video di laman Instagram menunjukkan dia menunggu di platform bersama penumpang lain dan kemudian menaiki gerabak kereta api.
Beberapa anggota rombongannya dilihat menemani bilionair berkenaan ketika dia melakukan perjalanan tersebut menggunakan pengangkutan awam menuju ke Ulhasnagar, sebuah bandar di daerah Thane, negeri Maharashtra.
Dalam rakaman itu, Hiranandani yang merupakan taikun hartanah, dilihat berinteraksi dengan penumpang lain semasa dalam perjalanannya. – AGENSI