PETALING JAYA – Jabatan Meterologi (MetMalaysia) pada pagi ini mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang bagi Pahang, Johor dan Sarawak.
Menurut MetMalaysia menerusi perkongsiannya di laman Facebook, antara kawasan yang terlibat bagi Pahang ialah Tanah Tinggi Cameron, Pekan dan Rompin.
“Bagi Johor pula, amaran ini dikeluarkan bagi kawasan Segamat dan Mersing. Manakala Sarawak, ia membabitkan kawasan Miri (Miri) dan amaran ini akan berkuatkuasa sehingga 2 petang.
“Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan laporan paparan imej gema radar bagi tinjauan keadaan cuaca menunjukkan hujan sedang berlaku di tempat melibatkan negeri-negeri di pantai timur.
“Cuaca buruk ini turut dilihat melibatkan satu dua tempat di bahagian pendalaman di Perak dimana jabatan kami meramalkan ia akan beransur reda menjelang tengah hari nanti,” katanya.
Tambah MetMalaysia, bagi Sabah dan Sarawak pula, keadaan cuaca lembab dilihat lebih tertumpu di Sarawak membabitkan kawasan Miri, Bintulu, Mukah, Sibu dan Kapit.
“Ia turut diramal akan beransur reda menjelang tengah hari nanti,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE