fbpx

3 hari cuci rumah banjir lumpur setinggi 2 meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosli mengemas rumahnya yang dipenuhi lumpur di PPSK Menerong, Hulu Terengganu semalam.

HULU TERENGGANU – Cuaca baik sejak kelmarin memboleh­kan sebahagian mangsa banjir di daerah ini mula membersihkan rumah masing-masing biarpun ada sebahagiannya belum dibenarkan keluar dari pusat pemindahan sementara (PPS).

Seorang penduduk Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Menerong di sini, Rosli Ab. Jalil, 52, berkata, kerja-kerja pembersihan rumah perlu dilakukan segera walaupun banjir belum benar-benar surut.

“Ini masa yang sesuai sebelum lumpur yang memenuhi rumah kami belum mengering. Jika tidak kerja-kerja membersihkannya akan lebih sukar.

“Rata-rata rumah kami ditenggelami banjir lumpur se­tinggi hampir dua meter dalam banjir gelombang ketiga pada Sabtu lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Rosli berkata, kerja-kerja pembersihan rumah tersebut memakan masa dua hingga tiga hari untuk diselesaikan dan mereka akan berulang-alik dari PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong untuk membersihkan rumah masing-masing.

“Kami sudah berada di PPS sejak Ahad lalu dan mungkin akan dibenar pulang apabila banjir surut sepenuhnya dalam masa terdekat,” ujarnya.

Penduduk lain, Tuan Saudi Tuan Par, 53, berkata, ini kali ke­dua rumah mereka ditenggelami banjir dalam tempoh seminggu sepanjang musim tengkujuh ini dan impak banjir gelombang ketiga jauh lebih buruk sehingga PPS juga dinaiki air.

“Apapun ia tidak seteruk banjir luar biasa yang pernah berlaku pada bulan Februari tahun lalu.

“Lagipun perkampungan kami yang berhampiran Sungai Peneh memang kerap banjir setiap musim tengkujuh,” ujarnya.

Tuan Saudi berkata, banyak peralatan rumahnya mengalami kerosakan mencecah kerugian belasan ribu ringgit akibat banjir gelombang kedua mengejut pada 14 Disember lalu.

Dia berkata, penduduk kampung pada ketika itu tidak dapat berbuat apa-apa sewaktu banjir mula melanda pada pukul 5 pagi ekoran sistem amaran banjir gagal berfungsi.

“Mujur siren kembali berbunyi setelah diperbaiki sewaktu banjir gelombang ketiga Sabtu lalu. Kami sempat memindahkan barangan berharga yang masih tinggal di tempat tinggi sebelum berpindah ke PPS,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI